Author:  Azlan Kamalludin
Date Published: May 23rd 2017
------

Kisah seorang doktor yang menjadi penjaga kepada 3 orang pesakit kanser yang terdiri daripada bapa mertua, bapa sendiri dan isteri dalam masa 10 bulan. Walaubagaimana pun bapa mertua beliau telah pun meninggal dunia manakala bapanya sendiri masih menjalani rawatan dan  isterinya telah sembuh.


Banyak tips yang dikongsikan dalam buku ini. Menjadi seorang penjaga kepada pesakit kanser bukanlah mudah. Selain daripada membantu pesakit bertarung dengan penyakit itu sendiri, masih banyak perkara-perkara lain yang harus difikirkan seperti kewangan, kebajikan anak-anak, rumahtangga dan sebagainya.


Saya kagum dengan penulis buku ini yang mampu mengurus segalanya dengan baik dan sistematik. Cara pengurusan ini mungkin boleh diteladani oleh pesakit kanser dan penjaga mereka yang lain.


Beberapa bab terakhir buku ini mengingatkan saya kepada buku "Option B". Kita sebagai kawan, keluarga atau pelawat kepada pesakit kanser harus sensitif. Berhati-hati ketika menyantuni  pesakit kanser dan penjaga mereka. Ketika mereka menghadapi keadaan yang sulit, sudah tentu emosi mereka ibarat telur di hujung tanduk. Ada perkara dan soalan yang perlu dielakkan bertanya kepada mereka. Ada pertolongan yang boleh kita hulurkan tetapi selepas kita mendapat persetujuan daripada mereka. Elakkan diri daripada menjadi 'JONASES' yang memberi pelbagai nasihat yang tidak diperlukan. Kadang-kadang nasihat itu bukan saja tidak membawa kebaikan bahkan menjadi racun pula kepada pesakit kanser dan penjaga mereka.



Akhir sekali, buku ini bukan sahaja harus dibaca oleh semua pesakit kanser dan penjaga mereka bahkan oleh kita semua. Banyak panduan dan tips berguna yang boleh kita pelajari daripada buku ini, Insya-Allah.