Ranea
Novel Ranea termasuk dalam kategori Thriller, Sc-Fi, Horror dan Fantasy. Saya memang minat novel Thriller terutamanya Psychological Thriller. Apabila ada unsur-unsur Sains Fizik dan Fantasi dalam novel Ranea, pembacaan saya menjadi sedikit perlahan. Itulah antara sebab mengapa saya mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk menghabiskannya. Bukanlah bermakna novel ini tidak menarik.
Bukan mudah untuk menulis sebuah novel yang menggabungkan dunia nyata dan dunia fantasi. Khairi (penulis novel ini) memang mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Beliau menggunakan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam bidang kejuruteraan untuk menulis novel ini dan juga daya imaginasi yang tinggi untuk memasukkan alam mistik ke dalam novel Ranea.
Watak-watak dalam novel ini terdiri daripada manusia dan jin. Manusia bercakap dalam pelbagai dialek. Ada dialek Terengganu, dialek Kedah, dialek Kelantan. Watak utama, Ranea dan Prof Zack banyak berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris. Jin pula ada bahasanya tersendiri. Bahasa pertuturan jin ini membuatkan saya ketawa apabila membacanya…hehehe. Pandai pulak Khairi cipta bahasa jin.
Apa yang saya faham dari novel ini, semuanya bermula dengan perasaan dendam. Manusia berdendam sehingga menggunakan khidmat jin jahat untuk membalas dendamnya. Jin jahat pulak mengambil kesempatan dari situasi itu untuk meminta sesuatu yang ada di dunia bagi membolehkan ia mendapat kembali kuasanya. Terjadilah peperangan antara manusia pendendam yang bergabung dengan jin jahat dan manusia baik bergabung dengan jin baik , tetapi bukan seperti peperangan antara ISIS dan tentera US. Bacalah novel ini untuk mengetahui bentuk peperangannya. Gerun dan menakutkan.
Apabila ada peperangan, adalah yang berkorban dan terkorban. Bab-bab terakhir dalam novel ini membuatkan saya menitis airmata. Memang tak dijangka endingnya. Saya menutup novel RANEA pada 16hb March dengan perasaan puas hati.
0 Comments