Beyone Yamashita and Percival
Saya menamatkan pembacaan buku ini dengan rasa puas hati. Buku ini termasuk dalam kategori 'fiksyen sejarah' yang berlatar belakangkan perang dunia kedua secara amnya dan penaklukan kuasa Jepun ke atas Tanah Melayu khasnya.
Ada dua perkara yang saya belajar melalui buku ini:
1. fakta sejarah - banyak fakta yang tidak saya ketahui sebelum ini disebabkan saya jarang membaca buku sejarah (sejarah merupakan satu subjek yang paling saya tidak suka waktu sekolah dulu). Melalui buku ini, baru saya kenal siapa Yamashita dan Percival. Mungkin saya pernah jumpa nama-nama ini dalam buku teks sejarah ketika sekolah dulu tapi nama-nama itu sudah luput dari ingatan. Disebabkan banyak fakta sejarah dan tarikh-tarikh penting yang disebut dalam buku ini, maka ia boleh dijadikan sebagai buku rujukan sampingan untuk pelajar dan pengkaji sejarah. Contohnya, bom atom pertama telah diuji di Alamogordo (gurun New Mexico) pada 16 Julai 1945.
2. kesan peperangan - perang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan samada kepada pihak yang menang atau kepada pihak yang kalah. Memang jadi abu, kalah jadi arang. Itulah yang berlaku ketika Jepun menakluk Tanah Melayu. Banyak kematian dan kerosakan harta benda berlaku. Yang mati bukan sahaja tentera yang berjuang malah orang awam yang tidak berdosa juga turut menjadi mangsa. Yang hidup setelah perang selesai juga menjadi trauma dan sedih dengan kehilangan harta benda dan orang-orang yang tersayang.
Buku ini berjaya membuatkan saya benci kepada tentera Jepun yang menakluk Tanah Melayu pada waktu itu. Mereka sangat kejam. Mereka tidak ada perasaan belas kasihan. Yang menentang, akan dipancung kepala. Ramai orang awam yang terbunuh apabila tentera Jepun menjatuhkan bom-bom di tempat-tempat awam seperti di Pulau Pinang. Selepas mereka berjaya mengambil alih kuasa, tawanan perang yang terdiri dari tentera dan orang awam dikerah membina jalan kereta api dengan diberi sedikit makanan. Ketua-ketua tentera pula dipenjara sementara pemimpin-pemimpin komunis anti-jepun telah disiksa untuk mendapatkan maklumat. Pada mata saya, mereka sangat tamak. Mereka bukan sahaja menakluk Tanah Melayu dan Singapura, malah pada waktu yang sama mereka mengebom Singapura, mereka juga telah mengebom Pearl Harbor. Banyak negara yang mereka jajah. Alasannya negeri mereka yang kecil tidak dapat menampung peningkatan jumlah penduduk mereka yang ramai walhal mereka ingin membolot harta dan kekayaan negeri yang mereka tawan. Mereka mengumpul sebanyak-banyak harta yang terdiri daripada jongkong emas dan barang-barang berharga yang lain untuk dibawa pulang ke Jepun.
Disebabkan kerakusan tentera Jepun, Amerika Syarikat telah membina bom atom dan bom ini telah dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki untuk melumpuhkan kekuatan tentera Jepun. Dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, maka tentera Jepun terpaksa menyerah kalah. General Yamashita ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera. Walaupun beliau tidak mengaku salah, General Yamashita didapati bersalah dan dihukum mati.
Yang membuatkan buku ini lebih menarik adalah kisah-kisah cinta yang diselitkan antara fakta-fakta sejarah. Cinta tiga segi antara Hazel, Richard dan James. Cinta sepenuh hati antara Lily dan Terry. Cinta mereka melalui pelbagai ujian dan dugaan disebabkan peperangan.
0 Comments