Anna menjadi tawanan kepada penculiknya semenjak berusia 15 tahun. Nak dikatakan dia diculik, tak boleh juga sebab dia dengan rela hati mengikut seorang lelaki Pakistan yang bekerja sebagai pemandu teksi pulang ke rumah. Namun bagi gadis yang berusia di bawah umur seperti Anna tentu belum mampu menilai dan membezakan antara kaca dengan permata. Dan dia tidak bernasib baik jatuh ke tangan seorang lelaki yang tidak berhati perut. 
Malek, pemandu teksi itu berasal dari Pakistan tinggal bersama keluarganya. Satu keluarga memang tidak berhati perut. Anna dilayan seperti hamba abdi di rumah tersebut sejak hari pertama dia sampai di situ.  

Anna mempunyai ibu dan ayah tapi keduanya ada konflik dan berpisah. Dikatakan ibunya  tidak mahu memelihara Anna. Neneknya memelihara Anna dengan penuh kasih sayang. Ketika tinggal bersama nenek, bapa saudara Anna telah berkelakuan tidak senonoh terhadapnya Selepas neneknya meninggalkan, Anna tinggal bersama ayahnya. Ayahnya juga berkelakuan seperti haruan makan anak. Sebab itulah Anna membawa diri keluar dari rumah sehingga dia bertemu dengan Malek. 

Diibaratkan seperti lari dari mulut harimau masuk mulut buaya, nasib Anna semakin malang di bawah tawanan Malek kerana Malek bukan seorang lelaki yang baik. Sejak hari pertama Anna sampai di rumah Malek dan keluarganya, dia dilayan seperti binatang.  Anna bukan setakat dijadikan babu di rumah itu malah dia dijadikan hamba seks juga, tempat Malek melepaskan nafsu syahwat.  Emak, isteri dan kakak Malek sama bersubahat.  

Anna dijadikan seperti kilang pengeluar bayi. Beberapa kali dia mengalami keguguran dan beberapa kali juga dia melahirkan anak. Kesemua anak yang dilahirkan dijual secara haram oleh Malek kepada keluarga yang berhajat.  
Setiap kali mendapatkan rawatan di hospital, Malek pandai bermuka- muka dengan doktor dan jururawat sehingga tidak seorang pun daripada mereka yang mengesyaki sesuatu. Anna tidak berani bersuara kerana dia telah diugut dengan pelbagai ugutan. Beberapa kali dia cuba melarikan diri tapi dia ditangkap semula oleh Malek. Anna juga pernah cuba membunuh diri kerana tidak mampu menanggung siksa tapi dia tidak mati. 

Suatu hari, Malek memberitahu bahawa mereka akan membawa Anna ke Pakistan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka. Anna mencari jalan untuk melarikan diri kerana dia tidak mahu ke Pakistan. Ketika itu dia baru saja melahirkan seorang anak tapi anak itu telah dijual kepada orang lain. 

Seorang pekerja sosial dijadualkan untuk datang melawat bayi dan ibu. Malek mengambil semula bayi tersebut untuk sementara. Dia berbuat begitu supaya pekerja sosial tersebut tidak mengesyaki perbuatan menjual bayi secara haram. 

Anna mendapat peluang menyelitkan nota meminta tolong kepada pekerja sosial tersebut. Dengan pertolongan pekerja sosial tersebut, Anna berjaya melarikan diri. Dia mencari ibunya walaupun Anna tahu ibunya membencinya. Tiada siapa lagi yang diharap dapat membantunya. Anna bernasib baik kerana ibunya masih tinggal di tempat lama. Anna menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya. Ibu membawa Anna untuk membuat laporan polis. Malek telah ditangkap dan didapati bersalah. 

Ibu Anna telah memberitahu bahawa Anna adalah anak yang dilahirkan hasil dari perkosaan seorang lelaki ke atas dirinya. Walaupun lelaki berkenaan dan ibunya kawin selepas kejadian itu tapi rumahtangga mereka tidak pernah bahagia.  Kejadian buruk itu juga yang membuatkan ibunya tidak mahu memelihara Anna. Tapi selepas Anna bebas dari tawanan, ibunya mengajak Anna tinggal bersama.  

Anna menjadi tawanan selama 13 tahun. Dia berjaya membebaskan dirinya ketika berusia 28 tahun. Deraan yang dihadapinya selama 13 tahun itu memang tidak dapat digambarkan. Hanya dia yang tahu...  


Sedih baca buku ni.. Rasa marah pun ada. Yang paling terkilan, pelakunya itu seorang Muslim. Keluarganya pun sama bersubahat. Saya tak boleh faham kenapa mak dia..kakak dia..isteri dia...isteri abang dia..tak kata apa waktu Malek rape Anna. Sesama perempuan, takkan tak boleh rasa apa yang Anna rasa. Tak dak rasa simpati langsung.