Hospital
Baca buku ini terasa macam baca buku fiksyen. Tidak terjangkau dek minda bahawa cerita yang ditulis ini rupanya kisah benar yang berlaku kepada penulisnya yang bernama Barbara O'Hare pada tahun 1971
Hospital merupakan tempat kita mencari ubat kepada penyakit, tempat kita menaruh harapan agar para perawat dan doktor berusaha mengubati penyakit yang kita hidapi tapi tidak bagi Barbara. Baginya, hospital tempat berlakunya kejadian malang. Kejadian yang menjadi trauma sepanjang hayat beliau.
Waktu berusia 11 bulan, masih lagi pakai pampers, Barbara telah ditinggalkan oleh ibunya. Anak kecil yang belum mengerti apa-apa ditinggalkan di bawah jagaan bapa. Bapa cuba melakukan sebaik mungkin tapi akhirnya give up. Barbara kemudian diletakkan di bawah care system. Malang sekali, foster mother yang menjaga Barbara merupakan kaki dera. Beberapa kali Barbara cuba melarikan diri dari foster home dengan harapan untuk mencari ibu kandungnya tetapi dia ditangkap semula. Kemudian Barbara dihantar ke rumah penjagaan kanak-kanak terabai. Di situ pun Barbara cuba melarikan diri. Tujuannya cuma satu iaitu mencari ibu kandungnya.
Akhirnya Barbara dimasukkan ke hospital, mungkin kerana dia dianggap ada masalah behaviour dan mental. Dan bermulalah detik-detik gelap dan menakutkan bagi seorang budak yang berusia 12 tahun. Doktor yang merawat Barbara bukan calang-calang doktor. Doktor Kenneth Milner adalah seorang head physician di Aston Hall Hospital. Selain daripada Barbara, ada beberapa orang lagi remaja perempuan yang dirawat oleh Dr Milner tapi Barbaralah yang paling muda. Setiap hari, Dr Milner akan merawat seorang saja daripada remaja tersebut. Hari minggu, mereka dibenarkan keluar bersama keluarga masing-masing.
Ketika rawatan itulah berlaku penderaan. Remaja-remaja tersebut termasuk Barbara disuntik dengan sejenis drug yang membuatkan mereka lali kemudian mereka dirogol dan sebagainya. Ketika usia 12 tahun, Barbara belum mengerti penderaan tersebut. Jururawat hanya memberitahu bahawa suntikan tersebut untuk membetulkan kelakuannya yang salah. Jauh di sudut hati, Barbara tidak suka rawatan tersebut.
Dia cuba memberitahu ayahnya ketika ayahnya datang melawat tapi ayahnya tidak percaya. Ayahnya mengganggap itu hanya alasan untuk Barbara lari dari hospital itu. Sehinggalah pada suatu hari, Barbara dengan tidak sengaja bercerita pasal rawatan itu di hadapan teman wanita ayahnya. Teman wanita ayahnya itu memaksa ayah Barbara supaya tidak menghantar semula Barbara ke hospital tersebut kerana dia berpendapat ada sesuatu yang tidak kena berlaku di situ. Sejak itu, Barbara tinggal bersama ayahnya. Pada usia 13 tahun, dia bertemu dengan ibu kandungnya. Ketika itu, barulah Barbara tahu bahawa ibu kandungnya memang tidak mahukannya.
Pada satu ketika setelah dewasa, Barbara mengalami kesakitan di bahagian bawah perut. Dia pergi mendapatkan rawatan dan doktor mendapati ada ketumbuhan pada serviknya. Ketika itu, Barbara menceritakan apa yang telah dilaluinya di Aston Hall Hospital kepada doktor berkenaan. Tanpa rekod perubatan, cerita itu tidak dapat disahkan. Barbara menjalani rawatan kimoterapi dan akhirnya dia disahkan pulih dari penyakit kanser servik.
Setelah sembuh, Barbara berusaha untuk mendapatkan rekod perubatan daripada Aston Hall Hospital. Pihak hospital berdolak-dalih dengan mengatakan rekod-rekod perubatan yang lama telah musnah dalam banjir dan kebakaran.
Dalam tahun 2015, Barbara mencari imej Aston Hall Hospital di internet. Melihat kepada imej hospital tersebut, dia rasa berdebar. Segala kejadian yang berlaku di situ muncul kembali dalam fikirannya. Dia meneruskan pencariannya di internet dan bertemu dengan satu website di mana seorang wanita meluahkan cerita tentang penderaan. Barbara turut berkongsi ceritanya di website tersebut.
Kemudian dia dihubungi oleh seorang wanita melalui facebook. Wanita itu mengalami penderaan yang serupa dan di hospital yang sama. Mereka kemudian berusaha untuk mendapatkan rekod perubatan di Aston Hall Hospital. Akhirnya mereka berjaya mendapatkan fotokopi rekod berkenaan walaupun rekod itu kelihatan lusuh sekali.
Segala memori buruk tetap menghantui hidup Barbara. Sukar untuk mentafsirkan perasaannya terhadap doktor tersebut. Benci, marah, dendam, sedih bercampur aduk. Doktor yang diharapkan untuk membantu rupanya mengambil kesempatan atas kenaifan Barbara. Apabila Barbara mendapat tahu bahawa Dr Milner telah meninggal dunia, dia melawat beberapa kubur dengan tujuan untuk mencari kubur doktor tersebut. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan dilakukan sekiranya dia menjumpai kubur doktor tersebut tapi yang pasti dia tidak akan menghadiahkan jambangan bunga.
Dr Milner meninggal dunia 44 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1976. Buku HOSPITAL yang ditulis oleh Barbara diterbitkan pada tahun 2017. Pihak polis memberitahu, sekiranya Dr Milner masih hidup, dia akan disiasat sebagai seorang penjenayah.
0 Comments