The Four Winds
Panjang kisahnya..bermula dari Elsa kecil sampai dewasa, kemudian kawin, tinggal dengan keluarga mertua yang mengerjakan ladang. Kemudian berlaku musim kemarau yang panjang. Ladang dan ternakan mati disebabkan kekeringan dan juga berlaku ribut pasir yang dasyat. Suami yang tidak tahan dengan keadaan itu bertindak meninggalkan Elsa dan keluarga. Ramai penduduk Texas keluar kerana tidak tahan dengan situasi di situ. Elsa dan keluarganya masih bertahan sehinggalah pada suatu hari anak keduanya jatuh sakit. Doktor menasihatkan supaya Elsa membawa anaknya keluar dari tempat itu. Kasih sayang ibu tidak dapat diukur dengan segala harta benda yang dimiliki. Elsa membawa dua orang anaknya keluar menuju ke California dengan harapan di sana kehidupan mereka akan berubah.
Harapan tidak menjadi kenyataan. Di California, pendatang dari luar dipandang rendah dan diperah keringat seperti hamba abdi. Kerja teruk tapi gaji rendah. Cara geng kayangan menguruskan pekerja menjerumuskan mereka ke dalam bebanan hutang yang tidak berkesudahan. Itu cara mereka untuk memastikan pekerja-pekerja tersebut tidak lari dan terus bekerja.
Akhirnya ada seorang anak muda yang menghasut pekerja tersebut supaya menuntuk hak dan keadilan. Elsa pada mulanya tidak termakan dengan hasutan itu. Namun apabila kawan baiknya sakit dan dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan di hospital kemudian sahabatnya tersebut mati, rasa marah sudah tidak dapat dibendung lagi. Para pekerja mengadakan pertemuan dan dalam pertemuan itu, mereka bersetuju untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman.
Geng kayangan mula rasa terancam. Tunjuk perasaan itu berlaku secara aman tapi disebabkan provokasi dari pihak polis (yang dikawal oleh geng kayangan), tunjuk perasaan itu bertukar menjadi rusuhan. Dan gas pemedih mata dilontar. Penunjuk perasaan lari bertempiaran dan ketika inilah Elsa tertembak. Elsa akhirnya mati dan meninggalkan dua orang anaknya.
0 Comments