Buku (terbitan tahun 2015) ini menceritakan pengalaman seorang ibu yang melahir dan membesarkan anak sulong yang autistic. Sebagaimana ibu-ibu lain yang mempunyai anak autistic, Jenny juga berhadapan dengan cabaran yang berat untuk mendidik Lucas. Bermacam-macam program khas untuk anak-anak autistic dicuba, harapan Jenny cuma satu..ingin melihat Lucas jadi normal. Disebabkan terlampau fokus untuk mendidik Lucas menjadi seperti anak yang normal, Jenny mengalami depresi sehingga terpaksa dirawat di wad mental.


Selepas keluar dari wad mental, Jenny meneruskan usahanya. Dia dan suaminya tidak pernah berputus asa. Jenny beruntung kerana mendapat sokongan padu dari keluarga suami dan keluarganya sendiri..malah ibu mertuanya sanggup menghabiskan masa 4 jam sehari untuk mengajar Lucas melalui program khas untuk anak-anak autistic.


Lucas mengalami kesukaran untuk memahami arahan dan berkomunikasi dengan orang lain di sekelilingnya. Dia tidak boleh bercakap. Namun berkat usaha yang berterusan dan sokongan yang padu, Lucas akhirnya boleh bertutur dengan ayat yang lengkap. Dia sudah pandai mengawal dan mengendali dirinya sendiri serta mampu berkomunikasi dengan baik.


Saya telah baca beberapa buah buku tentang pengalaman ibu bapa yang ada anak autistic. Sikap mereka yang tidak pernah berputus asa membolehkan anak-anak autistic mereka menjadi lebih baik. Ciri-ciri Autism mungkin kekal tapi anak-anak autistic boleh menjadi lebih baik seperti Lucas dari tidak boleh bertutur kepada boleh bertutur dan berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya. Anak-anak autistic boleh belajar sesuatu (walaupun mungkin lambat) bila kena caranya. Perkara yang penting adalah ayah dan ibu wajar ada kesabaran yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.